Kamis, 26 Desember 2013

Suspek cuba lolos berjaya ditahan

Som Sak (tengah) menunjukkan pelbagai peralatan digunakan suspek untuk melakukan kegiatan pecah rumah.

TAPAH - Terdesak  mahu melepaskan diri daripada dicekup, suspek pecah rumah bertindak agresif dan bergelut dengan dua anggota polis di sini petang kelmarin.

Lelaki berusia 29 tahun yang turut membawa kapak itu bagaimanapun berjaya diberkas anggota polis di Taman Krishnan, Slim River, dekat sini,  selepas dikejar sejauh lebih 30 kilometer dari Bidor.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliw berkata, kegiatan suspek dikesan selepas seorang pemilik rumah di Persiaran Damai menerima panggilan telefon memberitahu alat penggera keselamatan di rumahnya berbunyi.

Menurutnya, mangsa kemudian mengarahkan seorang pekerjanya memeriksa, mendapati pintu belakang rumahnya diumpil.

“Mangsa kemudian bergegas pulang ke rumah dan menemui banyak kesan tapak tangan penjenayah di tingkap dapur rumahnya itu.

“Jiran mangsa kemudian memberitahu melihat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Estima berwarna biru dalam keadaan mencurigakan berhampiran rumah mangsa sebelum kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, semalam.

Som Sak berkata, mangsa kemudian segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis dan gerakan memburu suspek segera dijalankan.

Katanya, sepasukan anggota kereta peronda polis terserempak dengan MPV berkenaan yang ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Bidor.

Beliau berkata, ketika anggotanya menghampiri kenderaan itu, tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja dinaiki dua lelaki dari belakang MPV terbabit tiba-tiba memecut ke arah Plaza Tol Bidor.

Menurutnya, anggota polis mengejar kereta dipandu suspek namun kenderaan itu hilang tanpa dikesan sebelum hebahan menerusi Bilik Gerakan IPD Tapah dibuat.

Menurutnya, anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Slim River terserempak kereta dinaiki penjenayah terbabit di Taman Krishnan dan berjaya menahan suspek.

"Seorang daripada suspek melarikan diri manakala seorang lagi dapat diberkas selepas berlaku pergelutan.

Som Sak berkata, polis menemui 11 kunci pelbagai model kereta yang dipercayai pernah dilarikan dua penjenayah itu sebelum ini.

Menurutnya, siasatan mendapati kenderaan Estima dan Proton Waja dinaiki suspek pernah dilaporkan hilang dicuri di Wangsa Maju dan Pulau Pinang sebelum ini.

“Polis kini masih memburu rakan suspek dikenali sebagai Ah Chun berusia lingkungan 30-an dan berasal daripada Kuala Lumpur yang masih bebas

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Tapah, Asisten Superintendan Nasri Fadzir di talian 05-4015222.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar